Ahad, 29 Januari 2012

Kesimpulan dan Rumusan Network Installation


Penggunaan komputer pada masa kini telah menjadi seperti sebahagian dari hidup kita. Perjalanan dan tugas seharian menjadi semakin mudah dan tanpa disedari kita semakin bergantung kepada mesin yang kita panggil komputer ini. Begitu juga dengan tanggungjawab dan beban kerja di pejabat, di mana maklumat-maklumat perlulah dihantar dengan cepat dan pantas bagi mengelakkan berlakunya kerugian atau sebarang kebocoran maklumat. Contohnya, ahli-ahli perniagaan, penghantaran maklumat yang pantas dan selamat berupaya menghasilkan keuntungan yang berlipat-ganda.
 
Di bidang pendidikan pula, gabungan di antara penggunaan komputer dengan dengan teknologi telekomunikasi telah menghasilkan apa yang kita kenali sebagai Teknologi Maklumat. Teknologi Maklumat telah berperanan sebagai asas untuk menyimpan maklumat, mengolah maklumat, menyalur dan mengedarkan maklumat di dalam pelbagai bentuk dan cara. Bahan atau maklumat tersebut dapat disalurgunakan sama ada di dalam bentuk teks, gambar, grafik, suara, animasi, dan video, atau gabungan kesemua unsur secara interaktif yang juga dikenali sebagai Multimedia. Semua bahan dapat disalurgunakan dengan menggunakan teknologi terkini, sama ada dengan rangkaian (networking), intranet dan internet.
 
Proses pengajaran-pembelajaran dapat dipertingkatkan mutunya dan dipelbagaikan penyampaian dan penerimaannya melalui beberapa teknik iaitu berbantukan komputer dan perisian melalui sistem rangkaian (networking), perisian dan pangkalan data atau maklumat atau melalui sistem internet, perisian dan pangkalan data.
 
Melalui maklumat yang diperolehi di atas, bolehlah kita simpulkan bahawa Sistem Rangkaian Komputer (Networking) turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya di dalam era teknologi maklumat terkini. Sistem rangkaian komputer merupakan sistem komputer yang berpaut bersama dengan terminal dan peralatan persisian yang lain melalui talian komunikasi. Rangkaian membenarkan pengguna yang berada pada kedudukan taburan geografi yang pelbagai untuk berkongsi aturcara, data dan peralatan. Teknologi rangkaian komputer ini yang pada awalnya hanya digunakan di kalangan masyarakat teknologi serta mereka yang gemar mencuba teknologi yang baru, tetapi kini menjadi antara teknologi yang mendapat penerimaan luas di kalangan masyarakat.

Tidak keterlaluan jika kita mengatakan teknologi rangkaian sebenarnya membuka suatu dimensi baru di dalam pengunaan komputer peribadi. Pengguna yang baru mengenali teknologi rangkaian seringkali tertanya-tanya mengenai kelainan dan ciri perbezaan yang dibawa oleh teknologi rangkaian kepada dunia perkomputeran. Sebelum teknologi rangkaian diperkenalkan serta digunakan secara meluas, kebanyakan komputer peribadi lebih berfungsi sebagai sebuah komputer tunggal. Pertamanya, ia tidak dirangkaikan iaitu disambungkan dengan mana-mana komputer yang lain. Oleh yang demikian, komputer tersebut hanya berupaya menggunakan sumber yang  disediakan serta terdapat pada komputer tersebut sahaja. Dalam erti kata lain, pengguna tersebut hanya dapat menggunakan perisian serta perkakasan yang terdapat serta disambungkan kepada komputer tersebut sahaja.
 
Sebelum wujudnya Sistem Rangkaian Komputer, pengguna yang ingin berkongsi perisian ataupun fail di dalam persekitaran komputer tunggal terpaksa menggunakan media storan yang boleh dialihkan seperti disket. Namun begitu, kehadiran teknologi rangkaian komputer membolehkan apa yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil menjadi kenyataan yang menguntungkan, menyeronokkan dan merealisasikan impian ramai pengguna.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan