Ahad, 18 Disember 2011

Pendahuluan Network Installation

S
istem Rangkaian (Networking) boleh ditakrifkan sebagai lebih daripada satu hardware yang terdapat di dalam Teknologi Maklumat dipisahkan secara fizikal kedudukannya tetapi disambung atau dirangkaikan dari segi operasinya. Ini bererti, Sistem Rangkaian Komputer (Computer Networking) merupakan satu sistem komputer yang mengandungi dua atau lebih komputer yang dihubungkan di antara satu sama lain melalui sistem pengoperasian yang selaras walaupun komputer-komputer tersebut berada di tempat-tempat yang berbeza.
Wujudnya Sistem Rangkaian Komputer telah memberikan beberapa manfaat yang besar kepada penguna-penggunanya. Melalui rangkaian ini, pengguna boleh berkongsi menggunakan perisian serta fail. Perkongsian , penyalinan serta penghantaran perisian serta fail dapat dilaksnakan secara talian. Ini bermakna pengguna tidak perlu menghabiskan sumber kewangan yang besar untuk membelikan perisian untuk setiap unit komputer mereka. Pengguna hanya perlu membeli sebuah perisian versi rangkaian contohnya LAN Version sudah memadai untuk semua komputer yang terdapat di dalam rangkaian tersebut menggunakannya.
Pengguna juga boleh berkongsi data atau perisian pada masa yang serentak contohnya tiga orang pekerja di dalam suatu jabatan, bekerja dengan menggunakan hamparan helaian yang sama. Keupayaan ini khususnya berguna di dalam kes pangkalan data, yang perlu dicapai dan ditukar oleh beberapa orang di dalam satu organisasi.
Selain daripada itu ialah kemampuan para pengguna rangkaian berhubung serta berkomunikasi di antara satu sama lain. Pengguna juga boleh bertukar-tukar mesej atau pesanan melalui komputer melalui proses yang dikenali sebagai mel eletronik serta perisian “chat” di dalam persekitaran rangkaian turut membolehkan sesebuah pejabat serta tempat kerja berkomunikasi serta berhubung di antara satu sama lain. Malah, penghantaran memo serta dokumen di dalam sesebuah syarikat yang kelazimannya merupakan budaya serta kaedah kerja di dalam sesebuah pejabat atau syarikat sudah menjadi tidak relevan serta berguna lagi.


Sistem Rangkaian Komputer turut membenarkan beberapa komputer berkongsi perkakasan yang sama contohnya mesin pencetak, pengimbas, CD ROM dan kelengkapan faks yang mahal. Contohnya, sebuah pejabat yang mempunyai dua puluh buah komputer, tidak perlu mendapatkan dua puluh buah mesin pencetak untuk membolehkan mereka melakukan tugas cetakan mereka. Sebuah mesin pencetak yang disambungkan kepada mana-mana komputer peribadi di dalam rangkaian tersebut akan dapat dikongsi bersama oleh komputer-komputer peribadi di dalam sitem rangkaian tersebut.
Konsep rangkaian juga tidak terhad kepada satu-satu lokasi atau perniagaan sahaja. Internet sebagai contoh, satu daripada beberapa rangkaian yang ada, berupaya menghubungkan pengguna komputer dari merata pelusuk dunia. Pengguna boleh menjalankan atur cara komputer dari benua lain dan boleh mencipta “halaman rerumah” (homepage) supaya berjuta-juta orang yang tidak dikenali boleh membacanya.
 
Internet juga membolehkan pelajar-pelajar khasnya serta pengguna-pengguna amnya mencari pelbagai variasi maklumat yang mereka inginkan mengenai apa-apa sahaja dari mana-mana sudut dunia dengan hanya melayari dunia internet. Satu kelebihan lagi ialah segala maklumat yang mereka inginkan itu akan mereka dapati di dalam jangkamasa yang singkat sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan