Di dalam modul ini, kita akan mempelajari tentang ‘PC Assemble’ iaitu pemasangan komponen komputer. Melakukan pemasangan komponen komputer memerlukan kemahiran dan latihan yang berterusan untuk menjadikan kita mahir. Selain daripada itu, kemahiran meleraikan atau menanggalkan komponen komputer juga penting bertujuan untuk melakukan ‘cleaning’, iaitu pembersihan dan menaik taraf ‘upgrade’ komponen-komponen yang lama dengan yang baru, atau juga memeriksa dan membaiki komponen yang rosak atau mengalami gangguan.
Untuk menjalankan langkah-langkah peleraian dan pemasangan komputer ini kita perlulah melakukan persediaan seperti menyediakan peralatan yang sesuai untuk digunakan, contohnya, toolkit atau toolbox, memakai pakaian yang sesuai. Selain itu juga, kita hendaklah mematuhi peraturan dan mementingkan keselamatan diri seperti memastikan tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti kerja pemasangan dan peleraian komponen komputer ini. Contohnya, pastikan kawasan kerja tidak berselerak, jauh daripada sebarang cecair dan kelembapan (terutamanya air), elakkan daripada kawasan kerja terdedah kepada haba dan sinaran matahari, dan pelbagai lagi. Ini untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan dan kerosakan komponen komputer.
Apabila melakukan gerak kerja ini, kita hendaklah sentiasa mengikut prosedur dan peraturan kerja dengan teliti. Aspek keselamatan dan keselesaan tempat kerja adalah sangat penting. Antaran contoh kemalangan yang sering berlaku adalah litar pintas, terkena renjatan elektrik, terjatuh dan kerosakan komponen komputer akibat terlanggar atau terjatuh. Untuk mengelakkan kejadian tidak diingini dan untuk keselamatan, anda disarankan untuk menggunakan anti-static wrist band ketika menjalankan langkah-langkah kerja peleraian dan pemasangan ini. Pastikan komputer anda sejuk terlebih dahulu sebelum memulakan kerja.
Kemahiran peleraian dan pemasangan ini dapat melatih kita untuk melakukannya sendiri dan tanpa menghantarnya ke kedai-kedai komputer yang menyediakan perkhidmatan servis. Secara tidak langsung kita dapat menjimatkan kos. Selain itu juga, kita dapat memanjangkan hayat komputer kita dengan selalu dan kerap melakukan kerja-kerja pembersihan dengan memastikan dalaman dan luaran komputer sentiasa dalam keadaan baik dan bersih. Oleh itu, kemahiran peleraian dan pemasangan komponen komputer adalah sangat penting supaya kerja-kerja pembersihan juga dapat dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan